Sunday, April 10, 2011

Jika gunung pun hancur...

Gunung Merapi, Indonesia (sekadar gambar hiasan)


Pada suatu hari, sedang asyik i'adah quran, sehinggalah sampai ke ayat 143 surah Al A'raaf..agak lama saya berhenti untuk mentadabburnya....

Allahuakbar! Begitu besar kekuasaanMU..

kisah Nabi Musa bersama kaumnya, Bani Israil...Jom kita ikuti sedutan kisahnya.

"Dan ketika Nabi Musa datang (untuk munajat) pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku) " (7 : 143)


"Allah berfirman: "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur". (7 : 144)

Saturday, April 2, 2011

Sebuah Pencarian..

Hari-hari hidup dalam pencarian.

Mencari kebenaran. Mencari kehidupan. Mencari jalan. Mencari cahaya. Mencari jawapan untuk semua persoalan hidup.

Dan yang paling penting, mencari Tuhan supaya sentiasa dekat dihati, perhatikan kembali semua tindakan kita. Adakah semua yang kita lakukan itu adalah sifat-sifat seorang hamba yang bertuhan?? Pentingnya mendalami ilmu ihsan. Amal. Ikhlas

Perlu bermujahadah!
supaya iman bersuara lebih kuat dari nafsu

dan bagaimana kita memandang dunia..itu pokoknya
dan di sekeliling kita ini ialah pelajaran yang best!


Turning point?

titik kembali dimana hidayah Allah itu sampai. Dan bilamana hidayah Allah itu datang, masihkah aku mampu menidakkannya..Allahurabbi......

berjiwa besar, teruskan langkah dan lebarkanlah tangan untuk terus memberi

menjadi yang terbaik, memberi yang terbaik!

Wednesday, March 30, 2011

Munajat si pengemis ilmu



::Doa Penerang Hati::
Ya Allah kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul, serta mendapat ilham daripada malaikat yang hampir denganMU, kurniakanlah kami kesihatan Ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang


::Doa Mohon diberi kemudahan dalam bekerja dan berfikir::
Ya Allah tiada sesuatu yang mudah kecuali sesuatu yang Engkau jadikan mudah dan Engkaulah yang menjadikan yang susah itu mudah dengan kehendakMU


::Doa Mohon diberi Kebijaksanaan::
Ya Allah bukakanlah kami hikmatMU dan limpahkan kami rahmat dari perbendaharaan rahmatMU Ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang


;:Doa Mudah Faham dan Hafal::

Ya Allah keluarkanlah aku dari kegelapan ragu-ragu, muliakan daku dengan sinaran kefahaman, bukakan bagiku pintu ilmu dan hiasilah daku dengan akhlak yang baik dan kasih sayang


::Doa Mengingati Perkara yang lupa::

Ya Allah aku mempertaruhkan kepada MU apa yang Engkau ajarkan kepadaku, kembalikanlah semula kepadaku apabila aku memerlukannya



Boleh juga mengamalkan doa daripada surah An-nur ayat 35


amalan adik nik nur madihah: sebelum belajar/buat latihan bacalah: ~ al-istiazah ~ basmalah ~al-fatihah ~doa penerang hati ~ayat kursi ~ayat 1000 dinar

Insyallah,dapat tenangkan hati & lindungi daripada apa2 gangguan ketika belajar.

Sebelum itu adalah lebih baik kita memuji Allah, berselawat, beristighfar dengan ikhlas dan yakin. Pilihlah waktu yg afdhal, menghadap kiblat dan merendahkan suara kita..InsyaAllah...~ Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hambanya~


FAHAM itu adalah rezeki. Allah mengurniakan kefahaman kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Ingin mendapatkan rezeki FAHAM ILMU, samalah seperti apa yang kita lakukan untuk memperoleh rezeki-rezeki yang lain seperti harta, makanan dan sebagainya.

Asasnya usaha, usaha dan usaha. Berusaha dalam berdoa, berusaha dalam belajar, berusaha dalam mentaati guru-guru, berusaha dalam mendapatkan ilmu.

Semoga terus kuat berusaha untuk syurga dunia dan akhirat. Mujahadah itu kuncinya!

Sunday, March 27, 2011

Mana milik kita?



Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya

Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya

Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita

Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya

Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya

Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga

Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa

Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya

Dalam perjalanan pulang dari melawat senior saya di HTAA, kak fiey yang mengalami kemalangan minggu lepas, lantas lirik lagu ini terasa terngiang-ngiang di kepala fikiran. Mendengar kata-kata beliau, terasa sebak dan terharu. Semoga beliau terus kuat dan tabah!

Mata kita, tangan kita, kaki kita, harta kita, anak-anak kita, rumah kita, pangkat kita, ibu ayah kita, kesihatan kita....

Bila ditarik salah satu dari nikmat tersebut, barulah kita akan merasa bahawa kerdil dan lemahnya diri ini jika hendak dibandingkan dengan kuasa Allah SWT. Barulah kita sedar betapa selama ini kita banyak sekali mengkufuri nikmatnya. Lupa, alpa dan leka.

Bersyukurlah dengan sebenar-benar syukur demi mengharapkan sepenuh keredhaanNya. Apa yang kita buat, apa yang kita sebut malah udara dan gas oksigen yang dihirup setiap saat ini juga adalah milik Allah. Bila-bila masa sahaja Dia boleh mengambil semula haknya, malahan kita yang perlu membayar semula nikmat-nikmat ini dengan pengabdian yang tidak berbelah bahagi. Allahuakbar. Semoga aku tidak lalai dalam pengabdian ini.


Thursday, March 24, 2011

Semoga aku tidak lupa...




Ustaz pesan....kena rajin mengulang quran

Ustaz pesan lagi, "rajin-rajinlah mengulang quran sewaktu masih belajar ni, lepas ni kamu dah kerja, susah dah nak mengulang. Kamu nak ke kalu kamu mati nanti dalam keadaan kamu tidak ingat al quran yang kamu dah hafal"..Allahuakbar! tersentak, menggeletar seluruh badan, rasa nak menitis air mata.

Abah pesan...belajar sungguh-sungguh, sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang

Mak pesan...belajar rajin-rajin

kakak pn turut berpesan yang sama.

Sahabat-sahabat?....terlalu banyak pesanan dan nasihat mereka..

Ya, ternyata masih ada lagi orang yang peduli dengan diri ini. Tetapi, jika diri sendiri masih tidak peduli, apa akan jadi??......

Semoga aku tidak lupa dan tidak lali mendengar semua pesanan ini dan boleh mengikutinya dengan baik.

Biarlah orang lain tak memahami kita, asalkan kita memahami orang lain.

mode: memahami perasaan seorang sahabat yang sedang berjuang dengan penyakit yang tidak dapat disembuhkn dengan perubatan moden. huhu. semoga Allah memudahkan segalanya.

Tuesday, March 22, 2011

Ukhuwwah itu indah..



Alhamdulillah...permulaan bicara selamanya. Setiap kali hujung minggu tiba, pasti ada sahaja agenda-agenda yang perlu dilaksanakan. Minggu lepas berpeluang bermusafir sehingga ke 3 buah negeri dalam masa 2 hari, 1 malam bersama adinda Mufidatul Hazirah Othman. Syukran kerana sudi menemankan saya.

Sabtu petang menaiki bas ke Kuala Lumpur, berhenti dan rehat sebentar di UIA Gombak. Menggunakan peluang yang ada untuk menziarahi sahabat-sahabat di sana. Sabtu malam bertolak ke Nilai. Menginap di rumah sewa sahabat-sahabat USIM. Di sna, Allah mengizinkan untuk berkenalan dan berukhuwwah dengan Shahraini, seorang sahabat yang mengambil jurusan bioteknologi makanan, anak kelahiran kelantan. Tidak dilupakn juga, Syuhadah, pelajar tahun dua jurusan undang-undang yang juga merupakan tukang masak pada malam itu, syafinaz @ lebih mesra dengan panggilan "peanut", kak marhaini dan beberapa orang lagi ahlul byt mereka yang seramai 7 orang kesemuanya itu.

Di layan dengan sangat baik sekalipun baru pertama kali bersua muka, berbual mesra sekalipun baru pertama kali bertentang mata. Sanggup melayan kerenah kami hingga jam 2 pagi. Mengiringi pemergian kami dari rumah mereka sekalipun jam ketika itu menunjukkan detik 5.30 pagi keesokan harinya. Allahuakbar! manakan di cari ukhuwwah dan sahabat sebaik ini melainkan hati-hati kami diikat dengan janji dan aqidah yang utuh kepadaMu..

Permusafiran diteruskan. Destinasi seterusnya, Johor. Menunaikan solat subuh dan sarapan pagi di RnR Nilai. Sekali lagi, nilai-nilai ukhuwwah terserlah. Membuat kejutan untuk sambutan hari lahir seorang sahabat. Alhamdulillah, sekalipun diselangi dengan muhasabah ringkas pagi itu.

Tiba di tempat program sekitar jam 10 pagi setelah sesat beberapa kali. Alhamdulillah, program berjalan lancar dan tamat sekitar jam 2 petang. Menanti tiket bas ke kuantan pada jam 8 malam. Masih banyak masa lagi. Berhajat mahu berjalan-jalan di kawasan berdekatan, tapi akibat kekangan cuaca hujan dan kepenatan, akhirnya mengambil keputusan untuk berehat sahaja sementara menanti malam.

Sekali lagi, nikmat berukhuwwah di akhir permusafiran ini. Berehat sebentar di rumah sahabat-sahabat UTHM. Allah mengizinkan hati ini untuk bertaut bersama mereka. Aizat, anak kelahiran kelantan, pernah bersekolah di SMKA naim lilbanat, sedang demam ketika itu. Tidak lupa juga, Fadhilah, anak jati johor, Amirah najwa yang merupakan bekas pelajar SHAMS Terengganu, kak chik, kak mia, aini dan beberapa orang teman-teman serumahnya yang lain.

Lewat petang itu, bertolak ke Terminal Bas Batu pahat dengan dihantar oleh sahabat kami, adha dan fad. Terima kasih yang tidak terhingga.

Allahukbar! SubhanaAllah! Memang padanlah mengapa Assyahid Imam Hassan Al Banna menyenaraikan ukhuwwah sebagai salah satu daripada rukun baiah. Orang-orang yang kita tidak pernah berjumpa, mana mungkin boleh melayannya ibarat saudara sendiri tanpa hati-hati kami diikat oleh aqidah perjuangan yang satu.

Syukran kepada sahabat dan teman, sekalipun inilah kali pertama kita bersua, dan mungkin juga kali terakhir, namun kenangan ini tetap indah di sanubariku. Terima kasih kepada kalian semua atas bantuan di sepanjang permusafiran ini. Semoga kita dapat berjiran di syurga. Teruskan perjuangnmu!!

Sekalipun banyak duit yang perlu dibelanjakan dan kepenatan tubuh badan yang dirasai di sepanjang permusafiran ini, tetapi saya tetap berpuas hati dan bersyukur. Syukur kerana selamat pergi dan pulang ke kuantan dan berpuas hati kerana telah berjaya mendapatkan buku "afat 'ala tariq", wabak sepanjang jalan karangan Dr Al Sayed Muhammad Noh.

Wednesday, March 16, 2011

Diriku dan waktu...



Mendepani minggu-minggu yang akan menguji kesabaran. Bersedialah wahai diri!

> lab report
> research writing: English for academic writing (EAW) topic on the breakfast habit among IIUM students
> quiz
> assignments
> Meeting ICB MRC
> Meeting + program Baktisiswa MRC
> Program2 persatuan
> Kelas tasmi'
> study untuk final exam
> usrah

Masih ada lagi tugasan-tugasan yang tidak tersenarai diatas.

Ya Allah, adakah aku akan merungut dan mengeluh di atas kesibukan urusan dunia ini? oh, tidak sama sekali!! kerana aku tahu semua ini akan menjadi saham untukku di akhirat kelak. insyAllah. Masih ada lagi urusan-urusan hidupku yang tidak dapat lagi diselesaikan. Hak-hak yang tidak tertunai dan dosa-dosa yang tidak terampun.

Ya Allah..Ku pohon akan keberkatan masa dan kesempurnaan amalanku. Mohon petunjuk dalam setiap apa yang aku lakukan.

Mohon maaf atas segalanya andai diri ini ada menzalimi sesiapa dan tindakan-tindakan yang menyakitkan.


Pengemis cinta Ilahi,
perindu syahid abadi