Friday, August 27, 2010

Pencarian diteruskan...



Muhasabah 17 Ramadhan...


kurangkan bercakap

bercakap apabila perlu

berhati-hati dalam percakapan

senyumlah semampunya..

Al-Quran dihati..

**********************************************************************************

ustaz tasmi'ku berpesan...

jagalah Al-Quran

rajinlah mengaji & mengulang

berdisiplinlah dengan Al-Quran

Salah satu amanah dengan Allah adalah AL-QURAN


"Seharusnya bagi seorang Hamalatul Quran itu mengetahui..malamnya ketika manusia dibuai mimpi, siangnya ketika manusia enak menikmati juadah, tangisannya ketika manusia bergelak ketawa, diamnya ketika manusia berkata yang sia-sia, dan khusyuknya ketika manusia leka dengan kehidupan dunia.."

~mode : mencari modal tasmi' dalam kesibukan study untuk exam..
semoga dipermudahkan~

pencarian malam lailatul qadr diteruskan..

Wednesday, August 25, 2010

Menyelusuri perjuangan Sayyid Qutb


As-Syahid Sayyid Qutb (29 Ogos 1966-29 Ogos 2010)


Ramadhan dinobatkan sebagai bulan pengampunan, bulan Al Quran juga bulan jihad dan pelbagai gelaran yang mengambarkan kebesaran dan kemuliaan penghulu bulan ini.Ramadhan tahun ini yang berlangsung di bulan Ogos juga tidak sepi daripada peristiwa penting di langit sejarah, antaranya pembunuhan kepada tokoh besar perjuangan Islam di abad moden iaitu Syed Qutb.


Syed Qutb ialah satu nama besar dalam sejarah pemikiran gerakan Islam pada abad ke 20. Sejak kematiannya pada tahun 1966, karya-karyanya telah disebarkan dan menjadi inspirasi kepada pendokong-pendokong gerakan kebangkitan Islam di seluruh dunia. Ianya telah menawan pemikiran dan komitmen generasi muda Islam untuk bekerja untuk Islam.


Nama sebenar Sayyid Qutb ialah Sayyid Qutb Ibrahim Hussain Shazali dan beliau berasal daripada keluarga yang berada dan dihormati di kampungnya di Moshah dalam wilayah Assyut di hulu Mesir. Beliau dilahirkan daripada rahim seorang muslimah yang menyintai Al Quran. Ayahnya sangat mementingkan soal agama dan telah memberikan pengaruh kehidupan beragama yang sangat besar terhadap Syed Qutb kemudiannya.


Oleh kerana asuhan keluarganya yang menitik beratkan pendidikan Al-Quran, maka Syed Qutb semenjak kecil lagi telah mengahafal Al-Quran dan beliau telah menghabiskan hafalannya ketika berusia 10 tahun. Dalam usianya 14 tahun, beliau telah berangkat ke Kaherah untuk menyambung pelajarannya dan beliau mendapat pendidikan tinggi di Darul Ulum. Beliau mengambil kursus-kursus Bahasa Arab dan Kesusasteraan, Ulum Al-Syariah, Sejarah dan Ilmu Pendidikan. Pada tahun 1933, Syed Qutb telah berjaya menamatkan pendidikannya di Darul Ulum dengan mendapat Ijazah sarjana Muda & Diploma Pendidikan.


Beliau telah memulakan kerjayanya sebagai guru di Bani Suif dan telah menceburi bidang kesusasteraan kerana minat beliau dalam bidang ini begitu mendalam. Syed Qutb adalah seorang penulis yang prolifik. Selain daripada menulis tentang tafsir Al-Quran, beliau telah mengarang sebanyak 24 buah buku serta banyak menyumbang karya-karyanya kepada majalah terutama majalah Ar-Risalah.


Syed Qutb pernah dihantar oleh Kerajaan Mesir ke Amarika Syarikat untuk mengkaji sistem pendidikan tinggi di sana. Kehidupannya di Amarika walaupun singkat, telah memberi Syed Qutb beberapa pengalaman hidup dan pengajaran yang sangat penting seperti melihat prejudis kaum yang dahsyat di Amerika dan juga sokongan Amerika kepada penubuhan Israel yang cukup menyentuh perasaan Syed Qutb.


Kebejatan nilai dan keruntuhan akhlak serta tamadun kebendaan masyarakat Barat telah memberikan Syed Qutb satu pandangan semula tentang paradigma perjuangan, beliau merasa mual dengan tamadun Barat yang kosong spiritual. Beliau mula rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk memperjuangkan Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Imam Hassan Al-Banna.


Syed Qutb telah meletakkan jawatannya sebagai pegawai pendidikan apabila balik semula ke Mesir dan telah menyetai Ikhwanul Muslimin. Di awal penggabungannya dengan Ikhwan, sesuai dengan bakat dan kebolehannya dalam penulisan, beliau telah banyak menulis topik-topik berkaitan dengan Islam serta membandingkan dengan Ideologi-ideologi seperti komunis, sekular, fahaman kebangsaan dan kapitalisme. Beliau telah memperkenalkan Islam sebagai alternatif kepada kegagalan ideologi dan tamadun Barat.


Syed Qutb telah ditahan bersama-sama dengan ahli-ahli Ikhwan yang lain termasuk Zainab al Ghazali, Fattah ismail, Hamidah Qutb, Kamal saniri pada tahun 1954 apabila telah dituduh merancang untuk membunuh Gamal Abdul Nasser dan ternyata tuduhan ini adalah sangat jahat untuk menghalalkan kejahatan regim Mesir.


Beliau telah dibicarakan dan telah dijatuhkan hukuman penjara dengan kerja berat selama 15 tahun. Dalam penjara inilah beliau telah menghasilkan karangannya tentang tafsir Al-Quran dan beberapa buah buku lain. Penjara tidak pernah mematahkan daya juang dan semangat yang ada pada dirinya untuk menyatakan kebenaran, jeriji penjara adalah nyanyian bisu yang melantunkan api semangat dan pencerahan. Setelah 10 tahun di dalam penjara, Abdul A’rif Al-Salam iaitu Presiden Iraq telah merayu kepada Gamal Abdul Nasser untuk membebaskan Syed Qutb dan beliau telah dibebaskan.


Beliau tidak serik untuk berdakwah dan meninta ilmu untuk mencerahkan akal manusia terutama beliau adalah ikon kepada aktivis muda Ikhwanul Muslimin. Regim Mesir dengan seluruh kekuatan aparat keamanan sentiasa mengintai pergerakan beliau dan teman-temannya.


Syed Qutb sekali lagi ditahan iaitu tidak sempat setahun setengah daripada tahun pembebasannya sebelum itu. Kali ini bukan untuk menerima hukuman penjara tetapi hukuman gantung sampai mati bersama-sama dengan 2 orang rakannya yang lain. 29 Ogos 1966 , menyaksikan kesaksian sebuah ikrar perjuangan sang mujahid dakwah, beliau tidak mahu merayu diatas hukuman yang telah dijatuhkan. ‘Kezaliman walau sekuat manapun akan hancur’ ujar Syed Qutb berpesan kepada kita semua, ‘ kebenaran walaupun kelihatan lemah namun ia akan muncul’ . Semboyan kebenaran akan terus memekik dan mencabar kezaliman thaghut di sepanjang zaman.


Lujnah Dakwah Dan Pembelaan Islam dengan kerjasama DPP Gombak akan mengadakan wacana Syed Qutb pada 29 ogos ini di Pejabat PAS Gombak, selepas solat terawih. Pembentangnya Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik abdul aziz (Exco DPPP) dan Ustaz Riduan (Exco DPPP). Ajaklah teman-teman muslimin dan muslimat untuk berkongsi ilmu tentang tokoh besar ini.


Hubungi Ustaz taufik,0193618916)


( Riduan Mohamad Nor ialah pendakwah dan penulis)

Monday, August 23, 2010

Menuju pengakhiran


Ketika Abu Yusuf, sahabat Imam Hanifah an-Nu'man berada di sebuah jalan di Syam, datang dengan tiba-tiba seorang lelaki muslim dan berkata, "Wahai Abu Yusuf, nasihatilah saya dengan nasihat yang akan saya ingat terus bahawa itu darimu."

Menangislah Abu Yusuf dan berkata, "Ketahuilah, wahai saudaraku. Adanya pertukaran siang dan malam, dan peredaran keduanya mempercepat kehancuran badanmu, punahnya usiamu dan datangnya ajalmu, maka semestinyalah engkau tidak tenteram, dan tidak tenang sampai kamu tahu di mana tempat tinggal dan kembalimu kelak. Apakah Tuhanmu marah kepadamu kerana kelalaianmu, dan dosa-dosamu atau dengan kasih dan sayangnya redha kepadamu?

Anak Adam yang lemah! Hari ini engkau adalah mani, esok bangkai yang mati. Jika engkau rela dengan keadaanmu ini, ikutilah perintah, dan engkau kelak akan tahu dan menyesal di saat penyesalan tiada lagi bermanfaat."

Menangislah Abu Yusuf. Menangislah lelaki itu, dan siapa yang bersama mereka semua.

Alhamdulillah, saat ini masih lagi Allah pinjamkan nyawa, segala nikmat disekeliling ini sangat banyak sehingga tidak terkira oleh akal manusia. Maka, genaplah usia 22 tahun, mengimbas kembali detik kelahiran diri ini oleh ibunda tersayang.

Tahun ini sudah 2 kali ulang tahun kelahiranku jatuh pada bulan Ramadhan, semoga berkat bulan yang mulia ini terus mengiringi saki-baki usiaku. Menanti ke penghujungnya. Tidak diketahui bila saatnya tiba, meskipun saya pergi pada bulan yang mulia ini. Itulah yang sangat-sangat diharapkan. Ya Allah, perkenankanlah.

Inilah masanya untuk muhasabah diri, setelah diberi masa merasai nikmat dunia selama 22 tahun, namun adakah segala amalan menyamai umur ini? saat menerima dan membaca ucapan selamat hari lahir dari sahabat-sahabat, serta merta hati menjadi sebak, terharu dan menitis air mata. Lantas teringat ayahanda dan bonda tercinta di kampung.

Sedetik lagi masa itu telah berlalu meninggalkanku, genaplah putaran usiaku, panjatkan kesyukuran kerana masih terus diberi peluang, nafas ini bukan sia-sia, ada harga yg perlu dibayar. insyAllah air mata dan darah menjadi gadaian untuk perjuangan Islam tercinta. Umur itu amanah Allah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Setakat mana ia dipergunakan. Setakat mana ia dibazirkan.

"tiada apa yang istimewa pada mengingati hari kelahiran, tetapi ianya ibadah jika dihayati dan direnungi (kejadian diri, kesyukuran pada ni'mat nyawa yang masih dipinjamkan, dosa yang dilakukan dan penantian HARI KEMATIAN!!)

"pada hari ini manusia mengingati hari kelahiranku, mereka gembira seperti gembiranya aku..apakah mereka juga akan mengingati hari kematianku? semestinya bukan tawa gembira tetapi air mata..."

Syukran kepada semua sahabat atas doa-doa kalian, semoga amalan mendoakan sahabat ini terus subur dalam diri kita tanpa mengira masa dan ketika. Bukankah Nabi kita pernah berpesan?


Muhasabah diri di fasa kedua ramadhan :Mencari hakikat kebenaran..memaknakan ramadhan

moga syahid dambaan hati, bertemu Allah cinta tertinggi

Thursday, August 12, 2010

Munajat Ramadhan



Ramadhan kali ini dimulai dengan rasa sayu dan terharu. Alhamdulillah, malam pertama 1 ramadhan dapat mengimamkan solat terawih berjemaah bersama ibu tercinta, kakak dan kakak ipar yang baru sahaja menjadi ahli baru dalam keluarga saya. Pulang ke rumah pada Ahad malam sehingga selasa malam serba sedikit dapat recharge semangat, sekalipun bermacam-macam perasaan menyelubungi diri.

Saat ini masih dalam fasa pemulihan ke arah mencari diri menuju Ilahi. Mengambil masa untuk bertenang dan terus bertenang.


Semoga kehadiran ramadhan ini bisa mendatangkan ketenangan buat hati dan jiwa

semoga ramadhan ini bisa memberi petunjuk dalam keputusan-keputusan yang sukar

semoga ramadhan ini bisa menguatkan diriku untuk terus bangun dan melangkah

semoga ramadhan ini bisa menjadikan aku hamba yang sabar dan bersyukur


Ya Allah, terlalu banyak harapan ini. Masih ada lagi yang tidak terucap oleh kata-kata mahupun tulisan oleh tangan yang hina ini, namun Engkau lebih mengetahui apa yang tersirat. Pengakhiran sesuatu perkara dilihat pada bagaimana permulaannya.

Mengharapkan natijah yang berbeza pada setiap akhir ramadhan dan bulan-bulan seterusnya, harus juga dilihat bagaimana persiapan dan persediaan kita menghadapi madrasah tarbiyyah ini. Mengharapkan sesuatu yang besar berlaku dalam hidup kita harus dilihat bagaimana ia bermula, usaha jua doa tanpa jemu yang saban masa dipanjatkan kepada Ilahi

Analogi yang sama, untuk mencari kesempurnaan solat, harus dilihat bagaimana kita menjaga kesempurnaan wuduk. Walaupun wuduk dan solat adalah 2 perkara yang berbeza, namun dalam sesetengah perkara, ia akan berkaitan sekali.

Modul tarbiyyah langsung terus dari Ilahi untuk semua hambaNya.

PUASA - ia adalah asas kekuatan dalaman bagi seorang pejuang sebelum ia mendepani cabaran dan halangan sukar di sepanjang jalan dakwah ini . Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya. Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna Hawa Nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadah puasa.


Ya Allah,
Moga Ramadhan kali ini,
Menjadikan kami agar terus yakin padaMu,
Menjadikan kami tidak berkira-kira untuk melakukan setiap suruhanMu,
Menjadikan kami tegas menjauhi laranganMu,
Menjadikan kami kental agar istiqamah mentaatiMu,
Biarpun andai Ramadhan kali ini berakhir,
Jadikan kami terus dalam meningkatkan iman dan ketaatan padaMu….AMEEN….

Masih ada masa untuk membetulkan yang tersalah, menginsafi yang terkhilaf. Mohon maaf atas segalanya.


Munajat hamba: Terus Istiqamah mencari nilai Ibadah~

3 Ramadhan 1431 H
8.00 am
Kamar Ar-Rahman


Wednesday, August 4, 2010

Pejuang sepanjang hayat



Menjadi seorang muslim adalah bermaksud memasukkan diri ke dalam kerangka dan acuan Islam. Ia bermaksud anda beriman kepada Allah, tuhan yang esa lalu akur dan tunduk kepada pengajaran dan undang – undangNya.

Apabila anda kekal di dalam acuan itu, anda adalah seorang muslim yang sempurna. Jika sebaliknya, anda cacat dan kecacatan itu akan terus membesar dan bertambah mengikut tahap perlanggaran terhadap undang – undangNya. Jika berlaku keengkaran, ia bererti kekufuran dan keluar dari agama.

Menjadi seorang muslim bererti memasuki perlumbaan menuju kesempurnaan. Kesempurnaan adalah berusaha menjadikan diri semakin dekat dengan Allah yang esa dan memperolehi keridhaanNya.

Kesempurnaan dan taqarrub kepada Allah hanya berlaku apabila kita semakin mendekati sunnah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda adalah penunjuk jalan yang satu dan baginda adalah ikutan yang satu di dalam agama. Tiada siapa boleh berlumba di atas landasan selain landasan binaannya.

Kemuncak perlumbaan adalah apabila anda menjadi pejuang Islam yang ikhlas.

Ia bererti anda bukan hanya beriman dengan Islam, bahkan menyiapkan diri sebagai pejuang yang mendukung perjuangan menegakkan ugama Islam di dunia dan kehidupan ini. Itulah matlamat perutusan para anbiya’. Mereka membawa ugama dan memperjuangkannya demi mencapai taqarrub dan keridhanNya.

Islam di dunia ini mesti tegak berdiri ke atas seluruh agama dan ideologi yang lain. Justeru ia menuntut perjuangan dan para pejuangnya.

Menjadi seorang pejuang Islam bukanlah sekadar hanya menjadi seorang muslim biasa. Ia menuntut usaha besar menuju puncak tertinggi. Ia penuh kesukaran dan ia pastinya milik para pejuang yang bersedia menempuh kesukaran dengan jayanya.

Menjadi seorang pejuang bermaksud bersedia patuh kepada peraturan sebagai seorang tentera. Ia menuntut disiplin pada tahap tertinggi. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kemenangan yang dibarisi para tentera yang mempunyai disiplin yang lemah?

Justeru anda tahu bahawa bukanlah senang untuk menegakkan Islam di dunia ini. Menegakkan Islam bererti menundukkan seluruh kekuatan kufur yang merajai dunia hari ini.


Ia menuntut pejuang Islam untuk menguasai banyak perkara dan menggerakkannya dengan penuh disiplin. Pastinya, ia bukan dekat jaraknya, pendek masanya dan mudah caranya.


Tinta Ikhlas : Ustaz Nik Abduh Nik Aziz