Friday, July 2, 2010

Inherit the past, Enlighten the future



Dedikasi khas buat semua pelajar baru, kemasukan Julai 2010/2011 ke UIAM kampus Kuantan pada 2 julai dan 6julai ini.

Mewarisi Kegemilangan silam, Menempa kecemerlangan Masa Hadapan.


Merangkak bertatih seorang anak kecil, berlarian berkejaran seorang kanak-kanak, akhirnya ditakdirkan Ilahi ke Kuantan, Universiti Islam Antarabangsa kampus kesihatan, bumi Tadahan Ilmu dan Budi.


Melihat langit Ilahi dengan seribu harapan. Merenung 250km dari ibu kota menjauhi kampus Pusat Asasi Petaling Jaya. Mencari pengalaman baru dan memulakan hidup baru yang pasti jauh berbeza dari alam Pra-Universiti.





Sejenak menyorot ke jendela alam Kegemilangan Islam. Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, 4 khalifah yang diberi petunjuk meneruskan deligasi penyampai kebenaran. Di celahan itu, adanya Abu Ubaidah Ibnu Al-Jarrah seorang anak muda yang tenang tapi hebat dalam catatan tinta emas sejarah dengan membuka kota Syam buat Islam yang kininya menjadi Jordan, Syria dan Palestin.

Sedikit berundur kebelakang, teringat Usamah bin Zaid bin Harithah anak muda yang berumur belasan tahun tapi sudah punya upaya memimpin ribuan tentera menakutkan empayar Rom. Terus zaman berlalu, datangnya Thoriq bin Ziyad, juga anak muda 20-an punyai kecerdikan sehingga mampu menawan Eropah menjadi asas kepada zaman kebangkitan sains, perubatan dan segala kajian baru yang gemilang dalam dunia Islam di Granada dan Cordova, sekarang dijajah kembali menjadi Sepanyol.


Terus merintis detik, kegemilangan Sultan Muhammad al-Fateh yang berusia awal 20-an tapi sudah memimpin 250,000 orang tentera membuka kota Konstantinopel yang kininya adalah Negara Turki yang terkehadapan dalam membela dan menegakkan isu-isu kemanusiaan terutama apa yang berlaku di bumi tertindas Palestin. Antara anak muda lain, Imam Syafie yang baru berusia 17 tahun tapi tahap keilmuannya sudah menjadi tempat rujukan para ‘ulama.


Biarlah sejarah itu telah berlalu, memang benar kita mewarisi kegemilangan para Ulama’, saintis, dan sekalian ilmuan zaman dahulu. Sejarah bukanlah untuk dibangga-banggakan, ianya suatu peringatan untuk dipelajari dan diteruskan deligasi hari ini dalam membawa suatu falsafah menjadi realiti.


Memandang ke dalam aspirasi cita-cita penubuhan UIAM di Persidangan Muslim Sedunia pada 1977 yang berpaksikan kepada intipati ayat surah al-Alaq yang sangat menekankan asas keilmuan bermula dengan suruhan Bacalah!, lalu diteruskan sehingga akhirnya dijelaskan tujuan pencarian ilmu adalah buat pengabdian diri sebagai hamba dan mentadbir bumi sebagai khalifah.


Itulah falsafah yang difahami oleh para anak muda yang seusia kita di zaman sahabat Ali karramallahu wajhah, tabi’, tabi’in, Sultan Muhammad al-Fateh, zaman Ibnu Sina, Imam Syafie, al-Biruni, al-Razi, Imam Nawawi dan beribu lagi nama anak muda yang tahu untuk membumikan falsafah menjadi suatu kenyataan.




Merenung kedalam misi UIAM ‘triple ICE’ = [Integration, Internationalization, Islamization, and Comprehensive Excellence] . Suatu adunan kepelbagaian, menjulang ke puncak antarabangsa, proses Islamisasi dan kecemerlangan dalam segenap aspek ruang-ruang kehidupan. Inilah yang sebenarnya telah berjaya dibuktikan oleh tinggalan warisan zaman-zaman kegemilangan Islam dahulu, cuma tinggal kepada kita sahaja samaada mahu membenarkan dan mengulangi sinaran mutiara-mutiara sejarah ummat itu ataupun membiarkan ianya tertimbus dalam dengan sikap kita yang lebih senang dan selesa dalam zon ketidakpedulian dan tiada daya untuk tunduk kepada tujuan dan cita-cita mulia Taman Ilmu dan Budi ini.

Aku melihat dalam harapan UIAM sebagai gedung Ilmu, gedung melahirkan orang bertaqwa, gedung melahirkan graduan yang masih hidup hatinya yang tahu tunduk kepada cita-cita dan tujuan, bukan lagi semata tewas dengan cinta nafsu dan syaitan.


Sungguh indah falsafah keilmuan, pendekatan tauhid, keterbukaan, Islamisasi, integrasi, peng-antarabangsaan, kecemerlangan secara holistik kerana itulah jua ajaran Islam.


Namun, keindahan itu hanyalah diatas kertas jika tiada dibumikan dan direalitikan dalam setiap jiwa, minda dan aksi para penghuni UIAM, sekalian anak muda harapan agama, bangsa dan Negara.


Sejenak aku berzikir dan berfikir ke dalam diri.


-Educating The Ummah, Serving The Nation-

Buah hikmah [MNM..Abu Fateh]



0 comments: