Monday, August 23, 2010

Menuju pengakhiran


Ketika Abu Yusuf, sahabat Imam Hanifah an-Nu'man berada di sebuah jalan di Syam, datang dengan tiba-tiba seorang lelaki muslim dan berkata, "Wahai Abu Yusuf, nasihatilah saya dengan nasihat yang akan saya ingat terus bahawa itu darimu."

Menangislah Abu Yusuf dan berkata, "Ketahuilah, wahai saudaraku. Adanya pertukaran siang dan malam, dan peredaran keduanya mempercepat kehancuran badanmu, punahnya usiamu dan datangnya ajalmu, maka semestinyalah engkau tidak tenteram, dan tidak tenang sampai kamu tahu di mana tempat tinggal dan kembalimu kelak. Apakah Tuhanmu marah kepadamu kerana kelalaianmu, dan dosa-dosamu atau dengan kasih dan sayangnya redha kepadamu?

Anak Adam yang lemah! Hari ini engkau adalah mani, esok bangkai yang mati. Jika engkau rela dengan keadaanmu ini, ikutilah perintah, dan engkau kelak akan tahu dan menyesal di saat penyesalan tiada lagi bermanfaat."

Menangislah Abu Yusuf. Menangislah lelaki itu, dan siapa yang bersama mereka semua.

Alhamdulillah, saat ini masih lagi Allah pinjamkan nyawa, segala nikmat disekeliling ini sangat banyak sehingga tidak terkira oleh akal manusia. Maka, genaplah usia 22 tahun, mengimbas kembali detik kelahiran diri ini oleh ibunda tersayang.

Tahun ini sudah 2 kali ulang tahun kelahiranku jatuh pada bulan Ramadhan, semoga berkat bulan yang mulia ini terus mengiringi saki-baki usiaku. Menanti ke penghujungnya. Tidak diketahui bila saatnya tiba, meskipun saya pergi pada bulan yang mulia ini. Itulah yang sangat-sangat diharapkan. Ya Allah, perkenankanlah.

Inilah masanya untuk muhasabah diri, setelah diberi masa merasai nikmat dunia selama 22 tahun, namun adakah segala amalan menyamai umur ini? saat menerima dan membaca ucapan selamat hari lahir dari sahabat-sahabat, serta merta hati menjadi sebak, terharu dan menitis air mata. Lantas teringat ayahanda dan bonda tercinta di kampung.

Sedetik lagi masa itu telah berlalu meninggalkanku, genaplah putaran usiaku, panjatkan kesyukuran kerana masih terus diberi peluang, nafas ini bukan sia-sia, ada harga yg perlu dibayar. insyAllah air mata dan darah menjadi gadaian untuk perjuangan Islam tercinta. Umur itu amanah Allah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Setakat mana ia dipergunakan. Setakat mana ia dibazirkan.

"tiada apa yang istimewa pada mengingati hari kelahiran, tetapi ianya ibadah jika dihayati dan direnungi (kejadian diri, kesyukuran pada ni'mat nyawa yang masih dipinjamkan, dosa yang dilakukan dan penantian HARI KEMATIAN!!)

"pada hari ini manusia mengingati hari kelahiranku, mereka gembira seperti gembiranya aku..apakah mereka juga akan mengingati hari kematianku? semestinya bukan tawa gembira tetapi air mata..."

Syukran kepada semua sahabat atas doa-doa kalian, semoga amalan mendoakan sahabat ini terus subur dalam diri kita tanpa mengira masa dan ketika. Bukankah Nabi kita pernah berpesan?


Muhasabah diri di fasa kedua ramadhan :Mencari hakikat kebenaran..memaknakan ramadhan

moga syahid dambaan hati, bertemu Allah cinta tertinggi

Thursday, August 12, 2010

Munajat Ramadhan



Ramadhan kali ini dimulai dengan rasa sayu dan terharu. Alhamdulillah, malam pertama 1 ramadhan dapat mengimamkan solat terawih berjemaah bersama ibu tercinta, kakak dan kakak ipar yang baru sahaja menjadi ahli baru dalam keluarga saya. Pulang ke rumah pada Ahad malam sehingga selasa malam serba sedikit dapat recharge semangat, sekalipun bermacam-macam perasaan menyelubungi diri.

Saat ini masih dalam fasa pemulihan ke arah mencari diri menuju Ilahi. Mengambil masa untuk bertenang dan terus bertenang.


Semoga kehadiran ramadhan ini bisa mendatangkan ketenangan buat hati dan jiwa

semoga ramadhan ini bisa memberi petunjuk dalam keputusan-keputusan yang sukar

semoga ramadhan ini bisa menguatkan diriku untuk terus bangun dan melangkah

semoga ramadhan ini bisa menjadikan aku hamba yang sabar dan bersyukur


Ya Allah, terlalu banyak harapan ini. Masih ada lagi yang tidak terucap oleh kata-kata mahupun tulisan oleh tangan yang hina ini, namun Engkau lebih mengetahui apa yang tersirat. Pengakhiran sesuatu perkara dilihat pada bagaimana permulaannya.

Mengharapkan natijah yang berbeza pada setiap akhir ramadhan dan bulan-bulan seterusnya, harus juga dilihat bagaimana persiapan dan persediaan kita menghadapi madrasah tarbiyyah ini. Mengharapkan sesuatu yang besar berlaku dalam hidup kita harus dilihat bagaimana ia bermula, usaha jua doa tanpa jemu yang saban masa dipanjatkan kepada Ilahi

Analogi yang sama, untuk mencari kesempurnaan solat, harus dilihat bagaimana kita menjaga kesempurnaan wuduk. Walaupun wuduk dan solat adalah 2 perkara yang berbeza, namun dalam sesetengah perkara, ia akan berkaitan sekali.

Modul tarbiyyah langsung terus dari Ilahi untuk semua hambaNya.

PUASA - ia adalah asas kekuatan dalaman bagi seorang pejuang sebelum ia mendepani cabaran dan halangan sukar di sepanjang jalan dakwah ini . Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya. Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna Hawa Nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadah puasa.


Ya Allah,
Moga Ramadhan kali ini,
Menjadikan kami agar terus yakin padaMu,
Menjadikan kami tidak berkira-kira untuk melakukan setiap suruhanMu,
Menjadikan kami tegas menjauhi laranganMu,
Menjadikan kami kental agar istiqamah mentaatiMu,
Biarpun andai Ramadhan kali ini berakhir,
Jadikan kami terus dalam meningkatkan iman dan ketaatan padaMu….AMEEN….

Masih ada masa untuk membetulkan yang tersalah, menginsafi yang terkhilaf. Mohon maaf atas segalanya.


Munajat hamba: Terus Istiqamah mencari nilai Ibadah~

3 Ramadhan 1431 H
8.00 am
Kamar Ar-Rahman


Wednesday, August 4, 2010

Pejuang sepanjang hayat



Menjadi seorang muslim adalah bermaksud memasukkan diri ke dalam kerangka dan acuan Islam. Ia bermaksud anda beriman kepada Allah, tuhan yang esa lalu akur dan tunduk kepada pengajaran dan undang – undangNya.

Apabila anda kekal di dalam acuan itu, anda adalah seorang muslim yang sempurna. Jika sebaliknya, anda cacat dan kecacatan itu akan terus membesar dan bertambah mengikut tahap perlanggaran terhadap undang – undangNya. Jika berlaku keengkaran, ia bererti kekufuran dan keluar dari agama.

Menjadi seorang muslim bererti memasuki perlumbaan menuju kesempurnaan. Kesempurnaan adalah berusaha menjadikan diri semakin dekat dengan Allah yang esa dan memperolehi keridhaanNya.

Kesempurnaan dan taqarrub kepada Allah hanya berlaku apabila kita semakin mendekati sunnah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda adalah penunjuk jalan yang satu dan baginda adalah ikutan yang satu di dalam agama. Tiada siapa boleh berlumba di atas landasan selain landasan binaannya.

Kemuncak perlumbaan adalah apabila anda menjadi pejuang Islam yang ikhlas.

Ia bererti anda bukan hanya beriman dengan Islam, bahkan menyiapkan diri sebagai pejuang yang mendukung perjuangan menegakkan ugama Islam di dunia dan kehidupan ini. Itulah matlamat perutusan para anbiya’. Mereka membawa ugama dan memperjuangkannya demi mencapai taqarrub dan keridhanNya.

Islam di dunia ini mesti tegak berdiri ke atas seluruh agama dan ideologi yang lain. Justeru ia menuntut perjuangan dan para pejuangnya.

Menjadi seorang pejuang Islam bukanlah sekadar hanya menjadi seorang muslim biasa. Ia menuntut usaha besar menuju puncak tertinggi. Ia penuh kesukaran dan ia pastinya milik para pejuang yang bersedia menempuh kesukaran dengan jayanya.

Menjadi seorang pejuang bermaksud bersedia patuh kepada peraturan sebagai seorang tentera. Ia menuntut disiplin pada tahap tertinggi. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kemenangan yang dibarisi para tentera yang mempunyai disiplin yang lemah?

Justeru anda tahu bahawa bukanlah senang untuk menegakkan Islam di dunia ini. Menegakkan Islam bererti menundukkan seluruh kekuatan kufur yang merajai dunia hari ini.


Ia menuntut pejuang Islam untuk menguasai banyak perkara dan menggerakkannya dengan penuh disiplin. Pastinya, ia bukan dekat jaraknya, pendek masanya dan mudah caranya.


Tinta Ikhlas : Ustaz Nik Abduh Nik Aziz

Tuesday, July 27, 2010

Pedulikah kita??



Bergaul dengan golongan ini, iaitu mereka yang kita lihat kurang nilainya dari segi material dan kedudukan seperti cleaner, driver bas, makcik+kakak jaga, peniaga cafe dan sesiapa pn yang sewaktu dengannya. Secara peribadinya, saya amat mengenangi untuk bergaul dengan mereka. Sekadar melemparkan senyuman, bertegur sapa dan berbual mesra. Seakan tiada batasan darjat dan pangkat. Sekadar menghormati mereka sebagai orang yang lebih tua dari saya. Berusaha untuk belajar dan mengutip butir-butir hikmah dari pengalaman hidup mereka.

Kesempatan meluangkan masa beberapa minit berbual dengan makcik cleaner di blok saya pada pagi ini amatlah bermanfaat. Serba sedikit membuka minda saya untuk mengetahui perihal manusia di dunia luar sana dan isu-isu yang berlaku di sekeliling

Makcik menceritakan bahawa anak saudaranya telah hilang seminggu yang lepas, tidak pulang ke rumah selepas habis waktu persekolahan. Berumur 15 tahun.. Hilang untuk kali yang kedua. Sebelum ini keluar rumah dengan membawa kain baju. Kali ini hilang terus sehelai sepinggang tanpa membawa bekalan kain baju. khabarnya, lari mengikut seorang lelaki bekas askar, duda anak empat. Sekarang, keluarganya dalam usaha untuk menjejakinya kembali. Bimbang apa-apa akan terjadi pada si gadis itu.

Sejenak saya berfikir.......

Apakah punca si gadis itu melarikan diri? Mengikut cerita makcik, kehilangannya sebelum ini adalah kerana dia tidak mahu ke sekolah. Tapi kali ini, tidak dapat dipastikan apakah sebabnya..

Terlalu banyak gejala sosial diluar sana (disekeliling tempat belajar saya). Taraf bandar yang semakin maju seiring majunya gejala sosial yang ada. Kemalangan, samun, rompak dan sebagainya. Serba sedikit agak menggerunkan saya untuk keluar bandar sewenang-wenangnya.

Inilah natijahnya bila masyarakat jauh dari islam. Nilai islam yang ada hanya meniti indah di bibir tanpa ada usaha yang berterusan untuk melaksanakannya. Islam yang kita lafazkan dibibir tidak meresap ke dalam hati. Umat Islam kini tidak merasa apa-apa apabila menyebut tentang islam,bahkan sikap umat Islam sendiri mencemarkan nama Islam..kepada non muslim,kajilah islam yang sebenar bukan pada sikap umat Islam sekarang.

Suatu hari, saya pernah bermonolong sendirian..."Ya Allah, susahnya nak membawa masyarakat kepada islam?"...

kerana apa? tepuk dada, bertanyalah pada iman

Sehinggakan sahabat saya yang tinggal di Brunei selalu sahaja membandingkan kehidupan di sana dengan Malaysia yang kononnya adalah sebuah negara islam? Di mana letak islam itu? sehinggakan terlalu banyak gejala sosial, inilah masalah-masalah ummat yang harus diselesaikan bermula dari akar umbinya.

Jadi, apakah peranan kita dalam situasi ini? Kita BUKAN ROBOT yang hanya belajar dan bekerja semata-mata untuk makan gaji..tapi kita ada AMANAH besar untuk ditunaikan kepada UMMAH..

Kepada sahabat-sahabat yang mengambil jurusan perubatan dan kesihatan, sedarlah! Rawat tubuh mereka, rawat juga JIWA mereka.. jadi, seoptima mungkin untuk kita menguasai segala ilmu dari segala aspek termasuklah ILMU AGAMA..

Sebelum merawat tubuh dan jiwa mereka, terlebih dahulu rawatlah jiwa dan hati kita...islah nafsak, wad'u ghairak'


cakna isu : hikmah di petang hari,
3.54 pm
16 Syaaban 1431H

Monday, July 19, 2010

Cinta dalam diam


Banyak Kelebihannya berdiam diri. Orang yang pendiam itu lebih baik daripada orang yang suka berbicara yang tidak keruan. Baik perangai dan pendiam, kedua-duanya adalah sifat yang baik dan tidak susah mengerjakannya, asalkan hati menyuruh empunya diri berbuat demikian.

Nabi SAW bersabda: "Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh, ialah diam dan baik perangai." (Riwayat Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim).

Jika tidak dapat berkata-kata yang baik lebih baik mendiamkan diri. Berkata baik itu hendaklah kepada semua orang.

Ketika Nabi SAW disarankan agar mengutuk orang-orang musyrik, baginda menjawab: "Aku tidak diutuskan untuk (melemparkan) kutukan, tetapi sesungguhnya aku diutuskan sebagai (pembawa) rahmat." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian juga kepada orang bawahan samada kerana usia atau pangkat. Anas r.a, pembantu rumah tangga Nabi SAW berkata: "Aku membantu rumah tangga Nabi SAW selama sepuluh tahun dan belum pernah baginda mengeluh " Ah!" terhadapku dan belum pernah beliau menegur, kenapa kamu lakukan ini atau kenapa tidak kau lakukan ini?" (Riwayat Ahmad)

Ingatlah kepada sabda Nabi SAW: "Seorang Mukmin bukanlah pengumpat, yang suka mengutuk, yang keji dan yang ucapannya kotor" (Riwayat Bukhari)

"Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". (Riwayat Abu Naim)

Jelaslah bahawa, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik 'Diam', usah gusar dilabel sebagai 'Manusia Yang PenDiam'.

Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh seluruh umat manusia dan jin serta SeKalian Makhluk ALLAH SWT di Bumi & di Langit, manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka ALLAH SWT (Naudzubillaahimindzalik).

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh ALLAH SWT itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.

Diam Orang Mukmin Itu Ibadah.

Ibadah tanpa perbuatan,
Ibadah rasa, Ibadah ini tidak meletihkan,
Kadang-kadang ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat,
Yang hatinya didalam kelalaian,
Macamana orang mukmin itu diamnya menjadi ibadah?
Kadang-kadang memikirkan dosanya,
Kadang-kadang memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat,
Kadang-kadang memikirkan nak menolong kawan,
Kadang-kadang dia terasa kebesaran Tuhan,
Atau dia meniatkan, dia diam itu,
Tidak mahu bercakap yang bukan-bukan,
Kadang-kadang dia diam itu, kalau dia bercakap,
Takut dia melakukan kesalahan,
Seperti dia mengumpat atau,
Kalau dia bercakap,
takut-takut menyakiti hati orang,
Atau dia diam itu,
menghormati percakapan orang,
Mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran,
Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu,
Baik atau jahat,
Dia biarkan saja orang itu bercakap,
Dan mendengar sahaja,
Kerana nak mengenal orang itu,
Kadang-kadang dia diam itu memikirkan dosa-dosa yang lalu,
Ataupun kecuaian dan kelalaian,Yang telah dibuat,
supaya dia bertaubat,
Ataupun mengingatkan ilmu pengetahuan,
Ataupun pengetahuan yang dilupakan datang semula dalam ingatan.

Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

*HIKMAH DIAM.

1. Sebagai Ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Hadis2 Rasullulah SAW mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

"Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". (Riwayat Abu Naim).

"Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". (Riwayat Bukhari & Muslim).

"Barangsiapa diam maka dia terlepas dari bahaya". (Riwayat At-Tirmidzi).

Madah Dari Hukama:

Banyak Diam tidak semestinya jahil, banyak bicara tidak semestinya cerdik, kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam itu lebih baik dari orang jahil yang banyak bicara.

Menasihati orang yang melakukan kesilapan, tidak salah. Yang salah memikirkan kesilapan orang.

Kalau orang menghina kita, bukan kita terhina, yang sebenarnya orang itu menghina dirinya sendiri.

*Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan DIAM. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat berkata-kata ke arah perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih lagi mulia serta terpuji yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri seseorang manusia itu.

*Air yang penuh di dalam tempayan itu tidak akan berkocak.

[Orang yang 'Alim (Berilmu tinggi@banyak ilmu) biasanya PENDIAM.]

Wallahu'alam


credit to : U-jam V2.0

Tuesday, July 13, 2010

Cendekiawan Parsi Zaman Pertengahan



Mahallah Attabari, sebuah kolej kediaman baru di UIAM kampus kuantan. Sejenak saya terfikir, siapakah dia tokoh attabari itu? Tak kenal maka tak cinta, mari kita mengenali tokoh ilmuan ini.

Mana mungkin di kalangan kita yang tidak pernah mendengar nama Imam Al-Tabari? Ulama' yang tersohor ini dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang amat mendalam cinta mereka terhadap ilmu.

Imam al-Tabari atau nama sebenarnya Muhammad ibn Jarir ibn Yazid al-Tabari lahir pada tahun 224H/839M. Beliau adalah seorang sejarawan dan pemikir Muslim dari Iran, lahir di daerah Amol , Tabaristan (sebelah selatan Laut Kaspia).

Beliau banyak merantau menuntut ilmu di seluruh semenanjung Arab sehingga ke Mesir. Beliau sempat mendalami ajaran-ajaran Abu Hanifah, Malik dan al-Syafi‘e. Sekembalinya ke tempat asalnya beliau mula mengajar kepada orang ramai. Antara hasil tulisannya yang terkenal ialah kitab tafsir berjudul Jami’ al-Bayan yang terkenal sehingga hari ini.


Karyanya yang terkenal antara lain: Tārikh ur-Rusul wal-Mulūk
, Sejarah para Nabi dan Raja), yang berisi sejarah dunia sehingga tahun 915, dan terkenal kerana ketepatannya dalam menulis sejarah Arab dan Muslim. Karyanya yang lain yang juga terkenal adalah berupa tafsir Al Quran bernama Tafsir At Tabari, yang sering digunakan sebagai sumber oleh pemikir Muslim yang lain, seperti Baghawi, Suyuti dan Ibnu Kathir.

Kisah Hidup Imam at-Tabari.

Beliau seorang ahli tafsir yang masyhur. Beliau juga terkenal dengan pengawasannya terhadap ilmu pengetahuan. As-Simsimi berkata: Beliau menulis setiap hari empat puluh helaian dalam masa empat puluh tahun.Muridnya (al-Qadhi Abu Bakar) telah meriwayatkan bahawa beliau seorang yang terlalu menjaga rutin hariannya. Selepas mengambil sarapan pagi beliau akan tidur kemudian bangun dan solat zohor. Sejurus kemudian beliau akan mula menulis hingga masuk waktu Asar. Pabila selesai menunaikan Fardhu Asar, dia akan bersama murid-muridnya menelaah ilmu sehingga Maghrib. Selepas Maghrib pula beliau akan mengajar ilmu Feqah sehingga larut malam.

Beliau pandai membahagikan masa dan usianya demi kepentingan agama, masyarakat dan dirinya sendiri. Beliau tidak pernah membazirkan walaupun sesaat pada perkara yang tidak berfaedah, masa baginya biarlah digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah ataupun untuk mengambil faedah daripada orang lain. Inilah dia ikutan kita, seorang ahli agama yang menggadaikan umurnya semata-mata untuk agama, untuk Allah, untuk beribadah dalam erti kata yang sebenarnya.

Sebuah kisah lain, antara lainnya mengisahkan kehidupan Imam at-Tabari yang tidak boleh terpisah daripada ilmu. Kisah ini diriwayatkan oleh salah seorang sahabat beliau (al-Murafi bin Zakaria) yang datang menziarahi waktu sakitnya. Apabila Imam at-Tabari mendengar salah seorang pelawat membaca doa ke atasnya lalu dia berkata, tolong ambilkan aku sebatang pen dan sehelai kertas, kemudian beliau menulis doa tersebut. Salah seorang daripada mereka bertanya: Apakan kamu masih menulis ilmu sedangkan kamu dalam keadaan begini? Jawab beliau: Sememangnya menjadi kewajipan setiap manusia untuk tidak meninggalkan ilmu berlalu pergi begitu sahaja hingga mati.

Kehidupan Sewaktu Kanak-Kanak.

Kembali kita pada liku memori Imam Al-Tabari rA. Di dalam buku seerah menceritakan bahawa ayah beliau amat menitik beratkan tarbiyyah dan ilmu. Sejak usia Imam At-Tabari rA mencecah 3 tahun, ayah beliau sudah mula menyalin buku buku untuk pembacaan Imam Al-Tabari rA pada masa mendatang. Tiga tahun! Suatu pengajaran bagi tarbiyyah dalam keluarga du'at kita. Selain itu, Imam At-tabari rA telah menghafal seluruh al-Qur'an sewaktu usianya lima setengah tahun. Lihat dan renungkan peranan ibu bapa nya dalam hal ini. Tentunya kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa keterlibatan yang besar dan keprihatinan yang langsung dari mereka. Beliau mendapat ijazah hadith semasa umurnya 9 tahun. (Di manakah kita sewaktu kita berusia 9 tahun?)

Kembaranya dalam menuntut ilmu.

Imam At-Tabari mula kembara dalam mendalami ilmu agama semasa usianya 12 tahun. Telah dicatatkan bahawa beliau telah melawat dan belajar di 120 bandar besar. Dan kesemua bandar besar ini dilawati beliau secara berjalan! Beliau juga dikenali sebagai Al-'Ilm Al-Mufrad, yang lebih kurang maksudnya .. a vast ocean of knowledge embodied in a single person.


Penulisan.

Antara dua penulisan beliau yang dikenali ramai adalah Taareekh At-Tabari dan Tafseer At-Tabari. Buku Tareekh At-tabari ini setebal lebih kurang 30,000 muka surat dan dibukukan dalam 24 jilid! Buku ini diajar oleh beliau dalam tempoh 7 tahun. Menjadi kebiasaan bagi beliau untuk menulis sejam sebelum waktu sahur setiap hari. Antara bukti keberkataan Allah dalam insan ini adalah terlalu banyaknya jumlah penulisan beliau selama sejam itu. Sehinggakan penyalin buku (read: pencetak buku) terpaksa mengambil masa 8-10 jam bagi menyalinnya semula. Jumlah Tafseer At-Tabari pula lebih kurang 30,000 muka surat juga. Dan beliau mengambil masa 9 tahun bagi tamat mengajarkan kitab ini kepada muridnya.

Dapat disimpulkan bahawa hakikatnya, seluruh kehidupan beliau telah dicurahkan dan di'devote'kan untuk pencarian, pengkajian dan pengembangan ilmu. Sebagaimana ulama' ulama' yang lain siri ini, fokus mereka yang jitu terhadap sfera ilmu, beliau tidak berkahwin. Beliau akhirnya pergi menghadap Allah swt dalam umurnya 86 tahun.

Jika dihitung, hasil jumlah penulisan beliau dengan nisbah umur beliau, maka dia perlu menulis 40 muka surat setiap hari sejak usianya satu tahun. Perlu diingat bahawa ini bukanlah penulisan santai, penulisan artikel, penulisan cerpen mahupun penulisan blog, ini adalah penulisan mengenai tafseer, seerah, fatwa, hukum hakam dan sebagainya yang memerlukan pengkajian dan penelitian
sepenuhnya.

Wallahua'lam

~Sejenak ku belajar dari sejarah~