Friday, March 2, 2012

Keberkatan rezeki



Sudah lama tidak mencoretkan sesuatu di laman ini atas kesibukan aktiviti seharian. Ahh..seringkali masa menjadi mangsa atas alasan ini. Pagi tadi berkesempatan menghadiri Liqa' Silaturrahim bersama principal Mahallah Talhah, kakitangan sokongan mahallah ofis dan beberapa orang sahabat. Program yang dirancang untuk meraikan dan menyambungkan ukhuwwah bersama makcik-makcik cleaner yang bekerja di Mahallah Talhah.



Selesai agenda menjamu selera, kedengaran seorang makcik membuka ceritanya. Saya yang sedang makan di kerusi belakang hanya memasang telinga. Beliau memperkenalkan diri sebagai Mak Wan, berusia 64 tahun. Sebelum ini beliau bekerja di Radicare selama beberapa tahun. Saya sangat teruja mendengar ceritanya. Beliau bercerita, niat beliau bekerja di Radicare tersebut ternyata ikhlas. Beliau memasang niat di awal hari kerjanya, sebaik sahaja memegang mop untuk membersihkan lantai, "Ya Allah berkatilah rezeki dan pekerjaan ku ini...nak simpan duit untuk pergi haji ni"....begitulah niat yang selalu dipasakkan di hati sebelum beliau memulakan kerja. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, beliau diizinkan menjadi tetamu-NYA di Baitullah pada tahun 2006 hasil usaha menyimpan duit gajinya selama bekerja di Radicare tanpa meminta sedikit pun duit suaminya. Ceritanya lagi, beliau sangat teruja dan merasai ketenangan yang teramat apabila menjejakkan kaki di sana.

Tidak mustahil kan..kerana hasil titik peluh menyimpan duit beserta niat yang betul, insyAllah akan diganjari sebaiknya. Saya yang ketika itu sedang makan, sedikit terkedu mendengar ceritanya. Allahuakbar!

Kali ni, apabila beliau bekerja sebagai cleaner di UIAM kuantan, beliau memasang niat untuk membuat umrah pula..



Tukang cuci, pemandu bas, peniaga pasar malam, tukang rumah dan tukang sapu sampah...pekerjaan yang kelihatannya hina dan jijik di pandangan manusia itu sebenarnya mampu menarik perhatian di sisi malaikat dan mendapat tempat yang tinggi pada pandangan Allah. Dengan syarat, sumbernya halal, niatnya ikhlas.

Jiwa-jiwa yang ikhlas bekerja, dengan pekerjaan yang halal, keberkatan rezeki akan menyinggahi. Teruskan kerja kalian dengan penuh rasa itqan. Ibadah yang seringkali manusia lupa.

Dalam pada itu, saya teringat kepada bonda di kampung. Beliau juga memasang impian untuk ke Baitullah. Namun, masih menunggu giliran dari pihak Tabung haji sekalipun rayuan telah dibuat. Ya Rabb, Permudahkan urusan beliau.

Hakikat sebenarnya kita hanyalah seorang hamba yang sedang menunggu jemputan dan panggilan dari Tuhan. Apabila niat kita betul-betul ikhlas, kadang-kadang kita tidak menyangka Allah akan menjemput kita..doa dan terus berdoa..

Mode tahun akhir pengajian. Mengintai-intai cabaran selepas bergraduasi di dunia sana. Cabaran kerjaya yang bakal mempertemukan dengan pelbagai ragam manusia. Baitul muslim yang menjanjikan hak-hak dan amanah yang berat dan gerakerja amal islami yang tiada kompromi.